Showing posts with label My Past. Show all posts
Showing posts with label My Past. Show all posts

Saturday, 21 July 2012

RAMADHAN 1433H, MENGIMBAU KENANGAN LAMPAU..


Ramadhan 1433H,
Day 1, Al-Jubail, Saudi Arabia

Alhamdulillah, segala puji-pujian untuk Allah SWT . hari pertama yang sungguh indah. Rasa gembira sangat dapat menyambut dan menjalani ibadah puasa lagi pada tahun. ini Lagi membuatkan tahun ini lebih bererti, apabila Nuhin pun mula belajar berpuasa...walaupun pukul 10 pagi ada minum air sikit..tak apalah air je pun...Alhamdulillah, berkat pertolongan Allah SWt, dia berjaya menahan lapar dan dahaga hingga ke Maghrib walaupun start dari pukul 4 duduk depan jam nak tunggu pukul 6.30petang...kesian....

Dan paling best, bila berbuka, semua benda nak makan sampai katanya ummi dengan walid dapat satu sorang aje,yang lain-lain semua dia punya..jadi sebagai ganjaran bagi memberi galakan untuk terus berpuasa, malam tu selepas solat Tarawikh, kami ke Panda, suruh aje dia pilih apa yang dia nak...suka bukan main.

Tadi masa on the way ke masjid, ketika berjalan ke bahagian wanita,hati terasa sayu..teringatkan kampung halaman, teringatkan arwah mak...dulu masa kat kampung, lepas je maghrib,kami ramai-ramai ( jiran2 - semua sepupu sepapat aje) akan keluar pasang pelita dan masa tu berlumba2 nak tunjuk pelita siapa paling banyak hehehe, lepas tu lekas2 naik rumah mandi dan nanti kami sepupu2 akan berkumpul depan rumah saya untuk jalan ramai2 pergi masjid. Masa tu tak ada kereta, motor pun tak ada, basikal adala..kadang2 naik basikal, kadang2 jalan kaki. Arwah mak pulak akan digendong ( bonceng) oleh abah dengan basikal tuanya, kami orang susah, tak ada motor atau kereta dan abah sampai sekarang pun tak nak bawa kereta atau motor, katanya lebih selesa dengan basikal...katanya lagi, basikal itu mengingatkan dia pada arwah emak...huhuhuhu sayunya...




Gambar ni mmg tak de kena mengena dgn solat Tarawikh, tapi cuma nak kongsi, inilah sebahagian dari sepupu saya. semua dalam tu "couple" maksudnya semua ada dua beradik...Alhamdulillah walaupun semua ni sekarang dah menginjak ke angka 30,kami masih lagi rapat seperti dulu..ce teka...ce teka, mana satu saya? hiks.

Lepas Tarawikh selalunya ada makan2..standardlah kan....biasanya lepas makan, kami jalan ramai2 untuk balik ke rumah, dan nanti adalah budak2 lelaki kampung ( sepupu kitaorang jugak) duk tunggu kitaorang sambil kacau2 manja ( kata orang terengganu "ngossek" )dulu nak jalan tengah malam pun tak takut, rasa selamat je kalau rasa takut pun mungkin dengan binatang yang tak berapa buas macam lembu, kambing dan paling kuat pun kerbau dan "cik bab" berbanding sekarang,usahkan malam,nak berjalan siang hari pun takut.   Zaman sekarang, manusia lagi ganas   dan buas dari rimau. 


15 tahun dahulu, jalan dari rumah ke surau tu kecik aje tak besar...sekarang jalan tu dah besar gedabak...dah ada traffic light pun...hilang dah suasa kampung dek arus pembangunan dan pemodenan. kesian budak2 zaman sekarang tak dpt nak rasa semua tu..agaknya pokok gelang, tembesu, senduduk, kemunting pun dah tak kenal. Sayangnya jika khazanah bumi itu pupus begitu saja.


Ok, sambung lagi cerita lama saya tadi, lepas sampai rumah, semua pakat berlari2 gi dapur tengok makanan bawah tudung saji..ha... masa tulah berebut-rebut adik beradik..paling seronok kalau semua kakak-kakak dan abang balik, berbuka sama-sama dan berebut lauk pauk, kalau ikan nak yang paling besar, nak kepalalah, berebut mata ikan lah, macam-macam kerenah sampai arwah mak pening kepala... lepas makan, kami semua akan baring atas katil ramai2 sambil dengar cerita kakak2 tentang kepyahan mereka zaman dahulu..bagaimana susahnya nak cari duit zaman mereka kecil dulu...ohhh indahnya zaman itu.

Bila sahur, arwah maklah yang paling pening kepala nak kejutkan 8 orang anak2nya...kakak2 semua dah besar jadi tak ada masalah sangat, yang paling liat nak bangun, saya, abang dan adik...kadang2 tengah makan pun boleh tertidur dengan nasi penuh dalam mulut...haa masa tulah kalau kena simbah air pun...oh..saya sangat rindukan zaman itu...rindukan arwah emak saya...hingga saat ini saya masih berangankan kalaulah emak masih ada, pasti saya dengan gembira akan bangun masak sahur untuk arwah, kejutkan arwah bangun sahur dan sediakan juadah berbuka kegemaran arwah dengan tangan sendiri..tapi apakan daya, takdir Allah mengatasi segalanya dan saya redha. Hanya doa dititipkan untuk arwah..Al-fatihah untuk arwah emak saya.

sekian, sampai jumpa lagi, assalamualaikum. 

Tuesday, 17 July 2012

SEDIH....

Assalamualaikum kawan-kawan dan taulan semua...semoga semuanya sentiasa didalam lindungan Allah SWT.


Hidup dan matiku hanyalah untuk-Mu Ya Allah.


Semalam, petang semalam waktu Saudi, saya menerima satu sms dari seseorang yang saya kenal dan rapat sedari kecil..sms yang diterima amat mengejutkan dan bikin hati ini menjadi gundah segundah gundahnya.

Katanya didalam sms tersebut, dia menerima sekeping surat dari hospital yang mana pihak hospital meminta beliau ke hospital untuk ujian ulangan darah dan mengarahkan dirinya supaya tidak menderma darah pada mana-mana hospital selagi ujian ulangan tidak dilakukan. Disamping itu, beliau juga dikehendaki menghadiri sesi kaunseling.

Saya tak berlengah terus menalifon sahabat ini dan betapa sedihnya bila mendengar suaranya yang sedang menangis...tanpa berkata apa2 kami hanya terdiam yang terdengar hanyalah esakan ..sedih..sungguh sedih...disaat ini yang mampu saya lakukan hanyalah mendoakan yang terbaik buat sahabat saya. Tak dapat nak dibayangkan seandainya sesuatu yang buruk berlaku padanya kerana selama hari ini, dia adalah tunggak keluarganya...apa yang akan terjadi pada kedua orang tuanya sekiranya sesuatu yang tak diingini berlaku padanya.

Semoga beliau tabah menghadapi dugaan ini..untuk dia, saya ingin dia tahu, InsyaAllah saya akan sentiasa ada untuk dia dan saya sangat sayangkan dia.

Kawan-kawan , tolong doakan yang terbaik untuk sahabat saya ini ya...

Assalamualaikum.


Tuesday, 22 November 2011

KISAH HUJAN & CERITA SEMASA KECIL

Assalamualaikum kawan-kawan ...semoga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT selalu ya....

Alhamdulillah, akhirnya ada juga masa untuk saya mengemaskinikan blog saya ni. Ada ke yang rindu?? Sebenarnya saya yang rindu...rindu sangat.....rindu untuk menulis, berkongsi rasa, pengalaman dan segala macam yang bersarang diminda. Banyak yang ingin dibicara, bersusun baris ayat2 yang ingin dilakarkan, merata-rata kata2 di minda yang ingin disepahkan disini, tapi semua tu bukan untuk hari ini...hari ini sekadar berkongsi kesyukuran ke hadrat Allah SWT,  kerana dengan Kebesaran dan KekuasaanNYA, bumi Jubail di limpahi hujan...Alhamdulillah.

Termasuk hari ini, dah 2 hari hujan turun....wah..seronoknya, anak saya gembira betul. Tahu tak, petang semalam masa kali pertama lihat hujan turun. dia tak tahu apa itu hujan., alahai anak ummi, kesiannya , sampai tak kenal hujan ye...jadi hari ini bila hujan, saya ajak lah dia turun ke bawah untuk tengok hujan.....huhuhuhu kesian kan.....:D.


Itu cerita tentang anak saya...tentang budak-budak arab pulak,  mereka bukan main gembira...semua bersorak dan pakat mandi hujan...hihihihiii..tak sejuk ke?? Kalau hujan rintik biasa, boleh lah mandi, tapi kalau hujan air batu...main baling2 ais agaknya...huhuhuhu.

Merenung titik titik hujan yang jatuh, mengingatkan saya satu pada lagu yang selalu kami nyanyikan sewaktu di sekolah rendah dahulu, agak2 zaman sekarang ni ada lagi tak lagu ni ya...

            " Tanya sama pokok apa sebab goyang "
               Nanti jawab pokok angin yang goncang
              Tanya sama langit apa sebab hujan
              Nanti jawab langit tanya lah awan
              Awan nanti kata, aku kandung air
              Sampai tempat sejuk aku pun cair
              Lihat dalam air, nampak bayang-bayang
              Campak satu batu , bayang pun hilang..


Bukan nak komen pasal lagu tu sebenarnya..saya cuma teringat sewaktu tinggal di Malaysia, kalau di kampung saya sekarang ni, tentu tengah hujan lebat dan kena elok, dah banjir pun

Mengimbau zaman kanak -kanak comel dulu..apabila masuk musim tengkujuh dan banjir, yang mana suatu keadaan yang amat dinantikan oleh semua kanak2 kampung saya. Biasanya tengah hujan lebat tu, nanti akan ada "chief" kami akan akan menjerit dari tingkap rumah dengan dialog macam ni, "woiii, mung nok gi takak ikang dok kekgi?",lepas tu, nanti jiran akan jerit ke rumah sebelah , dan begitulah seterusnya sampai habis. Mesej dihantar dari rumah ke rumah melalui tingkap,dulu tak de sms/fb lagi, terpaksalah guna kreativiti yang ada.  

Nanti bila dah tiba waktu yang ditetapkan, kami kanak2 yang comel ni akan siap sedia berbaju hujan dan membawa bersama satu bekas besar untuk isi hasil tangkapan, tangguk ikan kalau ada, dan kalau tak ada, kami rembat mak punya penapis teh atau bakul memasak, kemudian kami ramai2 satu kampung akan keluar sama-sama, tangkap ikan sama-sama, macam2 spesis ikan yang kami jumpa, ada ikan sekila, kalu yang jantan elok tu kami panggil ikan sekila gebbeng, ada ikan kkarim, ada anak ikan haruan yang warna oren belang2 tu, ada ikan puyu, ikan sepat,anak ikan keli, dan macam2 spesis ikan termasuk belut, lintah dan kerbau pun kadang2 join sekaki.. 

Lepas tangkap ikan, kami mandi pulak depan rumah tu..( depan rumah saya padang yang sangat luas...lebih kurang 1ekar kot..so boleh bayangkan tak macam mana bila banjir...macam tasik tau....maunya tak seronok mandi...mandi sampai tak hengat balik rumah...sampai lah ayah masing2  datang bawa rotan..maka masa tu kami bertempiaran lari, dan kadang-kadang dengan ayah kami pun mandi sama ,wahh seronoknya..indahnya zaman itu. Itu belum masuk  kenangan digigit lintah lagi sampai ambulance datang., pengalaman disudu ( gigit) angsa dan macam2 tragedi waktu musim tengkujuh.. Hermm alangkah indahnya kenangan itu....kenangan yang tak mungkin boleh dibeli dimana2 kedai dalam dunia ini. Kalau nak cerita, satu hari suntuk pun belum tentu sempat.

Dalam pada itu, hati ini bertanya...masih adakah semua itu dalam dunia serba moden dan canggih ini?( dulu dengar perkataan canggih pun jakun). Jika ada, saya ingin sekali membawa anak saya melalui saat2 seperti itu .... terasa ruginya  kerana tidak dapat membawa anak saya menikmati salah satu rencah pengalaman hidup yang boleh dijadikan kenangan dihari tua, yang mana nilainya amat dan sangatlah berharga....
               

Friday, 22 July 2011

HEBAT YANG TAK HEBAT, KAYA YANG TAK KAYA




Saat ini ketika sendirian dirumah,  tiba-tiba saya menerima panggilan dari seorang sahabat akrab saya sewaktu bekerja dulu. Selain dari bertanya khabar, dia meluahkan rasa geram dan "tension" dengan ketua jabatan dia yang agak sedikit ego dan sentiasa merasakan dirinya betul..langsung tidak mahu menerima pandangan kakitangan bawahan, asyik mahu cari salah staff sahaja...namun, hakikat sebenar ketua kami ( Saya guna perkataan kami sbb dulu he used to be my "ketua" as well) tu nak guna microsoft office pun tak reti...

Mengenangkan kes ini teringat pula saya pada petikan kata2 dari buku yang saya baca bertahun2 lepas. Dalam buku itu ada mengatakan jika seseorang mengatakan dia hebat sebenar nya dia tidaklah sehebat mana, jika seseorang mengatakan dia bahagia dia cuma mengimpikan sahaja...jika seseorang mengatakan dia kaya, sebenarnya dia tidaklah kaya mana, jika seseorang menceritakan akan perihal orang dia mental.....selalunya orang yang hebat, yang kaya, yang bahagia dia suke mendiamkan diri, tetapi semua tuh terpancar dari raut wajah yang berseri...

Saya cukup suka kata2 ini : Respect is an Earned gift, not something you demand..renung2kanlah....


Bila rindu menjengah lagi....


Me, bersama adik dan sebahagian daripada anak2 buah..miss u guys...



Since yesterday, hati ini bagi dicarik2....rindu bagai tidak tertahan lagi...nak nak bila Ramadhan akan berkunjung tak lama lagi.....

Hermm....rindu tak terkata pada suasana dan kemeriahan menyambut Ramadhan di kampung halaman Dungun, Terengganu....Alangkah seronok kalau dapat sama2 meyambut Ramadhan di Malaysia..tapi apakah daya, hukum kehidupan, tuntutan tugas seorang isteri hendaklah sentiasa disisi suami...Alhamdulillah, walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana walaupun jauh dari keluarga dan kampung halaman tercinta, Insya'Allah, saya masih berkesempatan untuk menyambut Ramadhan bersama suami  dan anak tercinta. Itu sudah cukup buat saya gembira.....

Selamat Menjalani Ibadah Puasa Buat Semua, Semoga Puasa kali ini dijalani dengan sangat-sangat baik..

Sunday, 26 June 2011

Abah......

Untuk entri kali ini, terpanggil untuk bercerita tentang kasih seorang ayah..seingat saya, ayah saya adalah lelaki terbaik antara yang baik pada masa kini.nak tahu kenapa? mari ikuti cerita saya ini..

Kasih ibu membawa kesyurga, kasihnya ayah kekal selamanya...
My Dearest Abah...


Saya dibesarkan dalam keluarga yang bukanlah senang, ayah dan arwah emak hanyalah tukang masak di restoran datuk saya, semasa kecil, masih saya ingat, arwah mak dan abah akan bangun seawal 4 pagi, dan mereka berdua akan mengayuh basikal untuk ke restoran datuk yang memakan masa lebih kurang 1 jam dari rumah, bagi menyiapkan lauk pauk untuk jualan. Dan mereka akan pulang ke rumah biasanya pukul 11 malam dan kadang2 membawa ke  pagi jika terdapat jamuan di luar daerah. Walaupun hidup sekadar cukup makan, tapi saya tidak pernah mendengar mereka bersungut...tampak mereka sentiasa bahagia..

Abah, seorang yang tidak banyak bercakap, kadang2 agak garang tapi akan cuba memenuhi apa saja kehendak anak-anak. Abah sejak dari kecil memang mengalami kesempitan hidup, dibesarkan oleh nenek, dan hanya bersekolah setakat darjah enam. Lantaran kesempitan hidup yang amat, nenek tidak mampu untuk menampung persekolahan abah ke peringkat yang lebih tinggi.Semasa saya kecil dan hingga kini, abah selalu bercerita, pernah guru besarnya beberapa kali, datang ke rumah memujuk abah untuk meneruskan persekolahan kerana abah antara murid yang pandai, tapi apakan daya...nenek tidak mampu, dan abah sanggup berkorban.....

Bertemu jodoh dengan arwah mak diusia 21 tahun ( yang mana Abah, 9 tahun lebih muda dari arwah  ) tapi mereka cukup bahagia., Mereka sama2 bergabung kudrat dan bermandi keringat untuk memberikan  yang terbaik pada kami sekeluarga. Pernah abah menjual pakaian terpakai, atau sekarang lebih popular dengan "bundle", tapi malangnya kedai abah terbakar. Kemudian, pernah juga abah menjual ikan, tapi pelbagai masalah yang dihadapi, hinggalah akhirnya, arwah datuk mengajak abah bekerja direstoran beliau,walaupun pekerjaan agak memenatkan tapi abah tidak pernah merungut, kata Abah, selagi hayat dikandung badan, dia akan cuba memberikan yang terbaik untuk anak2, agar kehidupan tidak sepertinya. Abah tidak mahu anak2 merasai apa yang pernah  dia rasa.

Hingga kini, saya masih terbayang2 wajah abah mengacau nasi di kawah sambil menahan kepanasan api, masih saya terbayang abah mengayuh basikal kesayangannya sambil membawa pulang makanan kegemaran kami, dan suatu hari, sewaktu saya darjah 6, abah bawa pulang satu kotak besar yang didalamnya ada 2 ekor anak kucing, kata abah, abah tak  mampu untuk memberikan kamu hadiah, tapi ini  sebagai tanda kasih abah pada kamu..jaga dan sayangilah kucing2 ni , kerana dia juga punyai perasaan seperti manusia, dan serentak dengan itu, Abah menghulurkan 2 utas rantai emas, satu untuk saya dan satu untuk adik, itulah satu2nya barang kemas yang kami ada, bagaimanalah agaknya abah mengikat perut, menyimpan duit  untuk belikan rantai itu pada kami...rantai itu...hingga kini masih kami simpan dan akan kami simpan sampai bila-bila....

Sekarang ini bila diingatkan balik, malu pada diri sendiri.Masih saya ingat ketika disekolah rendah, sewaktu hari penyampaian hadiah, abah dan  mak datang untuk melihat saya mengambil hadiah, jelas tampak di wajah mereka kegembiraan, tapi pada masa yang sama, saya malu kerana abah dan arwah mak saya hanya berbasikal, berbanding kawan2 yang rata2 keluarga mereka berkereta atau paling tidakpun bermotorsikal...terukkan saya?? Hingga kini saya masih menyesal kerana berperasaan begitu...bodohnya saya...Ya Allah maafkan saya.

Dan kasih sayang serta kesabaran Abah sekali lagi diuji, apabila arwah mak jatuh sakit, saya dapat melihat, betapa tingginya nilai kasih, cinta dan sayang Abah pada arwah. Abah  sentiasa disisi mak, mengendong mak dengan basikal untuk membawa mak ke pantai, dan menimbus emak dengan pasir pantai pada setiap pagi, disaat semua anak2 bekerja / belajar, memasak untuk arwah,menyuapkan nasi,  memandikan arwah, memakaikan baju pada arwah, dan seterusnya membedakkan arwah serta menyisir rambut arwah...Masya'Allah masih adakah lelaki seperti itu pada hari ini...saya pohon jika ada, biarlah orang itu suami saya....

Dan yang paling saya rasa bahawa abah saya yang terbaik antara yang baik pada hari ini ialah, sehari sebelum arwah emak menghembuskan nafas yang terakhir, Abah mencedok najis emak dengan menggunakan tangan, pada pukul 3 pagi...yang mana saya tak rasa ramai suami yang sanggup melakukan semua itu, menitis air mata saya ketika itu.... betapa besarnya pengorbanan Abah, bukan saja pada anak2, tapi pada isteri tercinta, selama 6 tahun arwah sakit, selama itulah dia sentiasa disisi..


Dan ketika arwah mak menghembuskan nafas terakhir, saya lihat ada air jernih jatuh dari mata abah..kata abah, dia redha pemergian mak, tapi dia sedih kerana sebahagian hidupnya telah pergi.

Itulah serba sedikit tentang salah seorang lelaki istimewa dalam hidup saya....hingga kini, hati ini masih lagi tertanya-tanya, mampukah saya buat yang terbaik pada Abah sebagaimana yang Abah lakukan pada kami......semoga Allah berikan kesempatan pada kami untuk membalas jasanya, atau paling tidakpun memenuhi impiannya sebelum dia menutup mata.....

Saturday, 14 May 2011

Selamat Hari Guru, cikgu !!!!

Kau ibarat lilin, membakar diri, menerangi hidup insan lain....hingga kini, pepatah ini saya simpan kemas jauh disudut hati dan seringkali bermain dalam minda saya...rasanya memang benarlah, dan memang tepat sekali ianya ditujukan kepada seorang yang bernama guru/cikgu, tapi pada saya cikgu lebih sedap dan lebih rapat didengar.Bukan senang tau, nak jadi cikgu ni, kena cukup sabar, tabah, cekal, kuat semangat dan paling penting ikhlas.

Tanpa bantuan cikgu, saya mungkin tak akan jadi siapa saya pada hari ini, mungkin saya tidak selancar sekarang ini menulis, mungkin juga saya masih lagi merangkak-rangkak untuk menghafal bagaimana mahu mengeja nama saya sendiri, mungkin masih lagi keliru antara huruf I dan l , mengenal alif, ba,ta, mengira 1,2,3 dan mencongak tambah, darab dan bahagi.Betapa besarnya peranan guru, saya tak pernah lupakan mereka, dan jasa mereka, terima kasih semua cikgu -cikgu saya, saya ingat semua cikgu2 saya, SELAMAT HARI GURU, cikgu!!

Ini gambar sewaktu saya Darjah 6, Sekolah Menengah Batu 48, Dungun , Terengganu. Saya berdiri 2 dari kanan.. :)

Akhir kata, Selamat Hari Guru  dan Terima Kasih cikgu.. semoga Allah memberkati semua cikgu2 di muka bumi ini....ameen....:D





Perlukah kita mengemis untuk sebuah persahabatan??? Jika begitu, dimanakah letaknya nilai persahabatan itu sendiri??

Sekadar untuk meluahkan rasa....mengapa ya, saat2 seperti ini, saya teringatkan sahabat dan teman2 saya sewaktu belajar ...., serasa saya, sukar mencari teman yang seakrab dan seikhlas sama seperti teman2 seperjuangan semasa belajar, teman2 dulu keikhlasan dalam persahabatan boleh dirasai hingga ke ulu hati.


Mungkin kerana sewaktu sama2 belajar kami sama2 merasai susah senang, teringat saya satu kisah, dengan salah seorang my good fren rozie,dan lagi seorang Mala, waktu itu kami sama2 mengikuti summer class, org lain balik cuti kami tak balik, kami ikut summer class( konon next semester nak ambik subjek sikitlah), so, tiap2 hari kena ulang alik dari KL- Shah Alam, naik intrakota, bas 222, nak ke bus-stand klang kena melalui cM/central Market, masa tu memang ikat perut habis lah, yelah, mana nak tambang bas lagi, tambang lrt lagi, nak beli alat2 utk assignment lagi, sewa rumah lagi, tak nak la susahkan parents kat kampung...so hari tu lepas kelas, untuk balik rumah, setiap hari kami akan lalu dekat cM, ada Mc'Donaldkan, kat depan tu, masa tu kami memang lapar gila, dari pagi hanya makan karipap (RM1=3), beli ngan Abg Mat dekat depan dewan kuliah, lepas tolak tambang lrt, baki duit yang tinggal hanyalah RM2, memang cukup2 untuk beli 1 biji burger kat mc'D yg harga RM1.99(aku ingat lagi), nak beli burger biasa masa tu memang tak de, yg tu je ada yg paling murah, so dengan muka ala2 malu kami pergi beli burger tu, pastu potong dua, kami makan, kat tepi jalan kat kaki lima depan cM( aku ingat lagi rozie, kita duduk macam org kebulurkan, kesian kan???) Alhamdulillah, kenyang lah hari tu....teringat kisah ni, wat aku gelak, kadang2 wat aku sedih

Masa belajar,segalanya kita share, kita tak rasa berkira langsung, dari aspek kewangan, mahupun dari aspek perasaan, kalau salah kita tegur, kita tegur bukan sebab benci, tapi sebab kita sayang....sebab bagi aku, kawan yg sebenarnya kawan ialah kawan yang sentiasa menegur jika nampak kesilapan kawan dia, bukan sekadar mendiamkan atau mengiyakan untuk menjaga hati. Kalaupun ada perselisihan yg berlaku hingga ada yang terluka, kita takkan simpan dalam hati hingga membiak menjadi kudis, tidak ada rasa iri bila melihat kelebihan yg dimiliki rakan,(makin happy adala) tidak ada ego yang melangit biarpun dari latar belakang keluarga yang berbeza, tidak ada istilah aku banyak duit, jadi aku tak boleh makan maggi, aku kena makan dan minum dalam pinggan dan gelas corelle, tak ada istilah, kau salah kau kena minta maaf, tak pernah ada istilah semua tu, semua tu kita akan cepat2 lupakan atau padamkan dalam hati (jika ada), demi persahabatan ini, sebab kita tahu keikhlasan kasih sayang yang kita bina itu adalah tak ternilai, kerana itulah perhubungan itu kekal hingga kini.


Kadang2, sedih mengenangkan, hari ini, betapa susahnya untuk "mempertahankan" nilai sebuah persahabatan itu,betapa perlu melakukan bermacam-macam cara untuk mengambil dan memenangi hati seorang sahabat sehingga kadang-kadang rasa seolah2 seperti mengemis hanya sekadar untuk memenangi hati seorang sahabat.Hanya setitis salah faham yang sangat sangat kecil, wujud jarak yang merenggangkan persahabatan,  persaudaraan, segala kebaikan, kemesraan, kasih sayang yang terbina, yg dijalin yang dipupuk sejak awal , hilang berlalu bersama debu2 ditiup angin lalu....sayang bukan???? 

Buat semua sahabat2 dan saudara saya diluar sana, saya sayangkan anda semua dan maafkan saya andai ada kekhilafan saya yg tak saya sedari menyinggung anda semua, saya hanya manusia biasa...:D...